Budaya Tradisi Masyarakat Melayu

Isnin, September 14, 2009

Bersiul atau bernyanyi di dapur
Seseorang anak gadis yang suka bersiul dan bernyanyi ketika memasak dikatakan akan mendapat suami tua. Apabila anak gadis mendengar nasihat itu tentunya akan berhenti berbuatan tersebut. Ini kerana anak gadis tentunya tidak mahu bersuami dengan seorang lelaki yang tua. Larangan ini adalah mengelakkan berlakunya kecelakaan supaya sebarang kerja di dapur mesti dibuat dengan sempurna dan tambahan pula adalah tidak manis sekiranya anak gadis bersiul dan bernyanyi di dapur.

Duduk atas bantal
Masyarakat Melayu pantang duduk di atas bantal kerana dipercayai boleh naik bisul. Sebenarnya dilarang berbuat demikian adalah kerana hendak menjaga bantal daripada dipecah atau dikoyak. Tambahan lagi adalah tidak baik benda untuk melapek kepala diletakkan di bawah punggung.

Menjahit pada waktu senja
Apabila ibu melihat anaknya menjahit atau menyulam pada waktu senja dengan segeranya akan berkata, “Jangan menjahit pada waktu senja, nanti mata guru engkau akan buta.” Apabila si anak mendengar larangan itu, tentunya akan berhenti perbuatan tersebut. Ini kerana mereka tidak suka melihat gurunya buta atau cacat kerana segala pengetahuan yang didapatinya itu adalah daripada guru yang disayanginya. Pengajaran disebalik larangan itu adalah untuk menjaga kesihatan mata anak supaya tidak menjadi kabur dan rosak atau jarum tercucuk tangan.

Tikus tidak boleh di seranah
Mengikut kepercayaan tikus tidak boleh di seranah. Sekiranya disumpah kerana perbuatannya merosakkan barang-barang di dalam rumah, ia akan lebih mengganas lagi. Biasanya tikus-tikus tidak memusnahkan sesuatu benda, yang dilakukannya ialah merosakkan sedikit di sana sini yang menyebabkan benda-benda yang dirosakkan itu tidak boleh digunakan lagi. Perbuatan tikus ini dapat memberi didikan kepada diri agar jangan mudah mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakitkan hati orang lain. Perbuatan ini amat tidak disukai oleh masyarakat. Unsur pengajarannya ialah manusia mestilah berfikir dahulu sebelum bercakap agar tidak menyinggung perasaan orang lain.

Makan dengan menggunakan bekas retak atau sumbing
Apabila si isu melihat anaknya makan dengan menggunakan bekas yang retak atau sumbing, maka si ibu itu akan melarang dengan berkata, “Siapa makan menggunakan bekas yang retak akan dapat isteri atau suami yang telah berkahwin dua atau tiga.” Nasihat ini sebenarnya untuk mengelakkan supaya anaknya tidak terkena luka dari bekas yang digunakan itu.

Bergendang dalam rumah
Mendengar anak cucu mereka bergendang dalam rumah, seperti memukul dinding, lantai atau sebagainya, maka dilarang oleh orang tua-tua, “dengan berkata "tidak baik bergendang dalam rumah, nanti harta habis dicuri oleh orang.” Larangan ini sebenarnya untuk mengelakkan bunyi bising di rumah, tambahan lagi bergendang itu akan merosakkan barang, terutamanya barang-barang yang bergantung di dinding itu akan jatuh dan pecah.

0 comments:

Catat Ulasan

Create your own banner at mybannermaker.com!